
Seorang rakyat Malaysia ditahan di Singapura pada Sabtu lalu selepas didakwa cuba menyeludup lebih 3.8 kilogram dadah bernilai lebih SGD394,000, menurut kenyataan pihak berkuasa hari ini.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bersama Biro Narkotik Pusat (CNB) memaklumkan serbuan itu menemui 1,908 gram heroin, 1,655 gram ganja dan 268 gram ‘ice’ daripada sebuah kenderaan semasa pemeriksaan rapi di Pusat Pemeriksaan Tuas. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 3,831 gram, berpotensi menampung bekalan kira-kira 1,300 penagih selama seminggu. Siasatan lanjut sedang dijalankan.
Ketika pemeriksaan lanjut, pegawai ICA menemui dua bungkusan hitam yang disyaki mengandungi dadah, disembunyikan di dalam panel ‘boot’ belakang kenderaan. Pemeriksaan seterusnya oleh pegawai CNB menemui enam lagi bungkusan hitam yang disembunyikan di beberapa ruang lain dalam kenderaan itu.
Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, sesiapa yang mengimport ke atau mengeksport dari Singapura melebihi 15 gram diamorfin (heroin tulen), lebih 250 gram methamphetamine, atau lebih 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.