
Rakyat Kelantan dikenal pasti mempunyai kadar celik kewangan terendah di negara ini, diikuti oleh penduduk Sabah dan Terengganu, menurut satu kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengarah KWSP Wilayah Timur, Rahmat Ali, berkata kajian pada 2022 itu mengambil kira beberapa faktor, termasuk kurangnya pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan tabungan.
Hasil kajian menunjukkan kadar celik kewangan rakyat Kelantan hanya 15 peratus, diikuti Sabah (16 peratus) dan Terengganu (17 peratus), berbanding Kuala Lumpur yang merekodkan 41 peratus.
“Mungkin mereka mempunyai simpanan sendiri tetapi kaedah penyimpanan tidak produktif, seperti disimpan di rumah atau di akaun bank yang tidak memberikan pulangan tinggi. Jika celik kewangan mereka lebih baik, sepatutnya mereka tahu memilih instrumen simpanan yang memberi pulangan lebih tinggi, contohnya KWSP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tadbir Urus Media Negeri dan Pihak Berkepentingan, hari ini.
Rahmat berkata KWSP kini memberi tumpuan meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai caruman formal melalui potongan majikan.
“Antara kemudahan ditawarkan ialah i-Saraan dan i-Suri. Menerusi i-Saraan, kerajaan memberi insentif RM500 setahun selama 10 tahun jika pencarum menyimpan RM2,500 setahun. Caruman ini bukan sahaja membolehkan mereka menikmati insentif dan dividen, malah memberikan manfaat lain seperti pengeluaran untuk pembelian rumah, pendidikan serta perlindungan sekiranya berlaku hilang upaya atau kematian,” katanya.
Setakat ini, KWSP merekodkan 18,385 pencarum di bawah i-Saraan manakala 431 individu mendaftar menerusi i-Suri. Rahmat menyeru lebih ramai masyarakat memanfaatkan kemudahan tersebut sebagai pelaburan bagi masa depan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.