
Seorang timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru seminggu melapor diri, telah ditahan polis selepas pemeriksaan di rumahnya menemui bahan disyaki dadah.
SPRM dalam kenyataan hari ini mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan pegawai itu ditahan pada 23 September.
“Kes ini telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. SPRM akan memberi kerjasama penuh,” kata kenyataan itu.
SPRM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap salah laku, pelanggaran undang-undang atau jenayah membabitkan pegawai dan kakitangannya.
“Kami komited untuk menegakkan integriti dan tadbir urus yang baik setiap masa,” tambah kenyataan itu.
Menurut SPRM, penahanan ini membuktikan pendirian tegas bahawa integriti mesti dipelihara walaupun melibatkan pegawai dalaman.
Pegawai berkenaan kini masih dalam siasatan polis dan tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, ketika dihubungi mengesahkan suspek direman tiga hari sehingga 25 September ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Ya, benar (ditahan). Suspek direman tiga hari hingga 25 September ini,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.