Agama sepatutnya menjadi asas penyatuan masyarakat, bukannya dijadikan sentimen untuk memecah-belahkan rakyat, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, Islam tidak menjadi mulia dengan merendahkan agama lain. Sebaliknya, kemuliaan itu dicapai melalui keadilan, akhlak, ilmu, amanah dan contoh kepimpinan yang baik.
Beliau menegaskan, kekuatan orang Melayu dan umat Islam tidak akan terhakis hanya kerana menghormati hak kaum serta agama lain.
Kenyataan Hadi dikesali
Saifuddin berkata, kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang, yang melabel pemimpin bukan Islam sebagai zalim amat dikesali. Menurutnya, kenyataan itu meletakkan ukuran keadilan dan kezaliman berdasarkan agama seseorang.
“Sungguh amat dikesali ada yang membuat kesimpulan bahawa orang Islam yang zalim tetap lebih baik daripada orang bukan Islam, hanya kerana perbezaan agama?
“Seseorang pemimpin tidak hanya dinilai berdasarkan identiti agamanya semata-mata, tetapi berdasarkan amanah, keadilan dan keupayaannya melindungi rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, rasuah, penindasan dan pengkhianatan terhadap amanah tetap suatu kesalahan tanpa mengira siapa pelakunya.
Apa yang dikatakan Hadi
Ketika berucap di pentas Grand Finale Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN Melaka semalam, Hadi menegaskan bahawa dalam Islam, perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala. Beliau membandingkannya dengan orang bukan Islam yang didakwanya “zalim”.
“Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam,” kata Hadi.
DAP Selangor gesa Hadi tarik balik kenyataan
Susulan itu, pemimpin DAP Selangor, S Preakas, menggesa Hadi menarik balik kenyataan tersebut. Beliau turut mempersoalkan sama ada salah guna wang rakyat menjadi kurang serius hanya kerana pelakunya beragama Islam.
Menurut Preakas, kenyataan Hadi dalam ceramah kempen di Bukit Katil, Melaka, itu bukan sahaja menghina rakyat bukan Islam, malah merendahkan tuntutan amanah yang perlu dipikul setiap pemimpin tanpa mengira agama.
Justeru, beliau meminta Umno, MCA, MIC dan Gerakan menyatakan pendirian terhadap kenyataan itu. Beliau juga menggesa Hadi memohon maaf secara terbuka kepada rakyat bukan Islam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.