Sanusi turut menyindir pihak lain yang ‘terjun’ dalam dunia politik tanpa memahami sepenuhnya selok-belok bidang tersebut, lantas menyebabkan perbalahan dan peletakan jawatan.

Mohd Puad Zarkashi dinasihatkan agar lebih menumpukan perhatian kepada hal berkaitan UMNO, berbanding mencampuri urusan PAS. Demikian tegas Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan Menteri Besar Kedah itu berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tersebut wajar memberi fokus kepada partinya sendiri yang semakin merudum dan kian hilang kepercayaan rakyat.
Sanusi menyoroti kemerosotan jumlah kerusi UMNO daripada 90 kepada 26. Justeru, beliau menasihatkan Mohd Puad untuk menangani isu-isu dalam partinya sendiri, daripada mengulas mengenai PAS. Kenyataan ini dibuat dalam sidang media di Hotel Raia, Alor Setar, semalam.
Kenyataan Sanusi itu adalah sebagai bidasan terhadap dakwaan Mohd Puad bahawa kononnya PAS hanya kuat di kawasan majoriti Melayu, gagal meraih sokongan bukan Melayu, serta kekuatannya hanya bergantung kepada ketaksuban ahli-ahlinya semata-mata.
Muhammad Sanusi menegaskan bahawa tiada istilah taksub dalam PAS. Sebaliknya, ahli parti itu dididik dengan prinsip ‘al-Fahmu’ (kefahaman).
Beliau menjelaskan, ahli PAS menyertai dan menyokong parti berdasarkan kefahaman yang mendalam terhadap prinsip-prinsipnya, yang menjana komitmen, keistiqamahan, dan keyakinan mereka terhadap jemaah ini.
Sanusi turut menyindir pihak lain yang ‘terjun’ dalam dunia politik tanpa memahami sepenuhnya selok-belok bidang tersebut, lantas menyebabkan perbalahan dan peletakan jawatan.