
Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai tunjang ekonomi negara apabila mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM432.1 bilion bagi tahun 2024.
Menurut Invest Selangor Berhad, pencapaian ini merupakan lonjakan signifikan berbanding RM406.1 bilion pada tahun 2023, sekali gus menjadikan Selangor sebagai satu-satunya negeri yang berjaya mengekalkan KDNK melebihi RM400 bilion bagi dua tahun berturut-turut.
“Prestasi luar biasa ini mengukuhkan lagi peranan Selangor sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, dengan sumbangan 26.2 peratus kepada jumlah keseluruhan KDNK nasional, meningkat daripada 25.9 peratus pada tahun sebelumnya,” menurut kenyataan agensi itu hari ini.
Momentum pertumbuhan Selangor juga terserlah melalui kadar pertumbuhan tahunan yang mantap sebanyak 6.3 peratus — jauh mengatasi purata nasional iaitu 5.1 peratus. Capaian ini mencerminkan asas ekonomi negeri yang kukuh, keyakinan berterusan pelabur serta strategi pembangunan yang inklusif dan berpaksikan impak tinggi.
Sektor Perkhidmatan dan Pembuatan Kukuhkan Kekuatan Ekonomi
Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi 61.1 peratus daripada keseluruhan KDNK negeri, bersamaan RM263.9 bilion, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 6.3 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh subsektor utama seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan, utiliti, pengangkutan dan penyimpanan, komunikasi dan maklumat, kewangan dan insurans, hartanah serta perkhidmatan perniagaan.
Sektor pembuatan pula menyumbang 29.1 peratus, dengan kekuatan tertumpu dalam subsektor elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan dan minuman, minyak serta lemak sayuran dan haiwan, serta pengeluaran kelengkapan pengangkutan.
Sementara itu, sektor perkilangan keseluruhannya menyumbang 32.9 peratus kepada KDNK, mengekalkan Selangor sebagai pusat perindustrian utama negara.
SIBS 2025 Pacu Daya Tarikan Pelaburan Serantau
Invest Selangor turut memaklumkan bahawa negeri ini akan terus memperkukuh daya saingnya sebagai destinasi pelaburan serantau melalui penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025, yang dijadual berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“SIBS merupakan antara acara perdagangan dan pelaburan terbesar di Asia Tenggara yang berperanan penting dalam merangsang jaringan perniagaan, pemadanan komersial, pertukaran pengetahuan dan kolaborasi global,” jelas Invest Selangor.
Agensi itu menambah bahawa kejayaan KDNK Selangor ini merupakan hasil daripada perancangan jangka panjang, dasar ekonomi progresif dan inisiatif strategik yang menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi merentas sektor-sektor pertumbuhan masa depan.