Umno berdepan pilihan terhad untuk mencadangkan pengganti Ismail Lasim sebagai menteri besar Negeri Sembilan susulan pertikaian yang membabitkan beberapa Adun Barisan Nasional (BN) dengan istana, menurut penganalisis.
Azmi Hassan berkata, walaupun BN menguasai 18 daripada 36 kerusi DUN, tidak semua wakil rakyat gabungan itu sesuai dipertimbangkan, khususnya mereka yang terbabit dalam kemelut berkaitan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pilihan BN hanya lima atau enam Adun
Penganalisis Akademi Nusantara itu berpandangan, lapan bekas exco BN yang terbabit dalam pertikaian dengan istana tidak wajar dicalonkan sebagai menteri besar baharu.
Menurutnya, selepas mengambil kira faktor itu serta beberapa calon lain yang pernah dicadangkan sebelum pelantikan Ismail, pilihan BN mungkin hanya berbaki lima atau enam Adun.
“Tangan Presiden Umno, Zahid Hamidi, agak terikat kerana pilihan beliau begitu terhad untuk memilih dalam kalangan Adun BN,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, mengumumkan bahawa Ismail mengemukakan peletakan jawatan sebagai menteri besar.
Zahid berkata, keputusan itu dibuat atas kerelaan Adun Juasseh berkenaan dan bukan atas arahan parti. Beliau turut mengesahkan bahawa hanya satu nama dikemukakan bagi menggantikan Ismail.
Ismail tarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar
Peletakan jawatan Ismail berlaku beberapa hari selepas beliau mengesahkan menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Syed Danial Syed Ahmad, berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Pemberitahuan itu turut menyatakan sokongan beliau dan 10 bekas exco Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz.
Tujuh bekas exco berkenaan daripada Umno, iaitu Mustapha Nagoor (Palong), Faizal Ramli (Linggi), Zaiful Bahri Idris (Chembong), Razi Ali (Sungai Lui), Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Tiga lagi ialah Siow Kong Choon (Chennah) daripada MCA, wakil rakyat PAS Fairuz Isa (Serting), dan Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.
Negeri Sembilan terpalit kemelut diraja sejak April, apabila empat individu yang mendakwa mereka sebagai Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Krisis itu juga membawa kepada PRN Negeri Sembilan, selepas 14 Adun Umno diketuai Jalaluddin Alias menarik sokongan terhadap Aminuddin Harun, menteri besar ketika itu, pada April.
Perkenan istana masih ditunggu
Sementara itu, Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata, peletakan jawatan Ismail masih terlalu awal untuk dianggap sebagai penyelesaian kepada krisis politik negeri, selagi belum mendapat perkenan rasmi Tuanku Muhriz.
Beliau mengingatkan bahawa pengumuman peletakan jawatan yang mendahului perkenan istana boleh mencetuskan ketegangan baharu antara kepimpinan Umno pusat dengan Istana Seri Menanti, sekali gus menyukarkan usaha menyelesaikan kemelut berkenaan.
Katanya, pemilihan pengganti Ismail juga perlu mengambil kira hubungan dengan istana, dengan keutamaan diberikan kepada Adun yang tidak terbabit dalam pertikaian membabitkan 10 bekas exco itu.
“Calon baharu bukanlah daripada Adun bekas exco, tetapi Adun lain yang dilihat boleh menjadi jambatan antara pihak politik dengan istana,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.