
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membayangkan parti itu bersedia untuk bekerjasama semula dengan PAS.
Beliau berkata kedua-dua parti boleh berusaha menukar status mereka daripada lawan kepada kawan.
“Kawan makan kawan, kawan jadi lawan. Tetapi Insya-ALLAH kita boleh usahakan lawan jadi kawan,” katanya di Facebook pada Ahad.
Konteks kenyataan
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada hantaran Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari di Facebook.
Ahmad Fadhli sebelum itu menyebut “kawan makan kawan” tanpa mengaitkannya secara langsung dengan situasi di Perlis.
“Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” tulisnya.
Hantaran Ahli Parlimen Pasir Mas itu mencetuskan pelbagai tanda tanya dan reaksi dalam kalangan pengikutnya.
Latar belakang politik Perlis
Sebelum ini, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-12.
Beliau menggantikan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli daripada PAS yang meletak jawatan atas faktor kesihatan pada Khamis lalu.
Lapan ADUN Perikatan Nasional, lima daripada Bersatu dan tiga daripada PAS, sebelum ini mengemukakan akuan berkanun menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Cadangan penyusunan semula
Ekoran krisis itu, Dr Muhamad Akmal pada Khamis lalu mencadangkan supaya PN dibubarkan dan Muafakat Nasional dihidupkan semula.
Katanya, usaha memperkasakan MN itu sudah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
MN yang ditubuhkan antara UMNO dan PAS pada 2019 dianggap terkubur apabila PAS memilih bekerjasama dengan Bersatu dalam PN bagi menghadapi PRU15.
Keputusan PAS itu melanggar syarat UMNO yang meminta mereka meninggalkan Bersatu untuk terus bekerjasama dalam MN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.