Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP), Wong Soon Koh, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan berkenaan telah dikemukakan pada 22 November 2026, sebelum keputusan itu diumumkan pada sidang media di sini hari ini.
“Saya ingin mengumumkan bahawa saya secara rasmi telah mengemukakan surat peletakan jawatan daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), selain melepaskan semua jawatan dan pelantikan yang disandang dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu-buru,” katanya.
Bukan didorong kepentingan peribadi
Menurut Wong Soon Koh, peletakan jawatan itu bukan didorong kepentingan politik peribadi atau persoalan sama ada beliau akan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak akan datang. Sebaliknya, keputusan itu berasaskan prinsip serta persefahaman politik yang menjadi landasan penyertaannya dalam PDP.
“Peletakan jawatan daripada PDP tidak bermakna saya meninggalkan GPS atau menarik balik sokongan terhadap Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg,” ujarnya.
Beliau menegaskan akan terus komited menyokong GPS serta kepimpinan, visi dan usaha Premier Sarawak dalam mempertahankan hak, kepentingan dan aspirasi Sarawak, selain memacu pembangunan serta kemakmuran negeri.
Terus berkhidmat kepada rakyat
Wong Soon Koh turut memberi jaminan bahawa komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sarawak, khususnya penduduk Bawang Assan yang selama ini memberikan kepercayaan dan sokongan kepadanya, tidak akan berubah.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan anggota PDP atas kerjasama, persahabatan serta sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau bersama parti itu.
Beliau berkata, keputusan berkenaan adalah muktamad dan dibuat berlandaskan prinsip serta keyakinan politik, tanpa menyimpan sebarang perasaan peribadi terhadap kepimpinan atau mana-mana individu dalam parti berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.