Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, menzahirkan sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Beliau menegaskan tiada sebab mana-mana menteri Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan dalam Kabinet.
Sebaliknya, pengerusi BN itu berkata, menteri daripada DAP sepatutnya mengikut jejak setiausaha agung parti itu, Loke Siew Fook, yang meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan.
Sindiran “gila talak”
Zahid mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Gobind Singh, yang menyeru beliau meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri andai tidak lagi yakin dengan Anwar.
“Jadi, kalau beliau (Gobind) merasakan apa yang dinyatakannya itu patut dilakukan (desakan meletak jawatan), maka menteri DAP buatlah sebagaimana yang dilakukan setiausaha agung parti mereka.
“Jangan pula selepas meletak jawatan, bertindak seperti orang gila talak. Kita tidak mahu gila talak seperti mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka.
Beza haluan di peringkat negeri
Dalam pada itu, Zahid mengakui wujud perbezaan haluan dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan di peringkat negeri, seperti di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Namun, katanya, ini tidak bermakna gabungan itu tidak menyokong kepimpinan Anwar.
“Memang benar kita tidak sehaluan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Ini kerana setiap parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan mempunyai hak untuk menentukan haluan masing-masing di peringkat negeri, terutama pada pilihan raya.
“Tidak timbul soal kita tidak menyokong kepimpinan Anwar di peringkat persekutuan. Perkara ini jelas kerana dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tidak pernah sekalipun menteri daripada BN tidak bersetuju dengan dasar kerajaan perpaduan atau berbeza pendapat dengan perdana menteri,” katanya.
Terdahulu, Zahid mencadangkan Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu, bukannya melakukan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Loke.
Cadangan itu mengundang kritikan pemimpin DAP, termasuk Loke yang mencabar BN keluar daripada kerajaan perpaduan jika tidak lagi bersetuju dengan kepimpinan Anwar.
Loke meletakkan jawatan berkuat kuasa Selasa lalu susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International di bawah tahanan di rumah.
Kerjasama BN-PN di PRN Melaka
BN dan PH kekal sebagai rakan dalam kerajaan persekutuan, namun bersaing pada PRN Melaka Sabtu ini apabila BN menjalin kerjasama pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN).
Ditanya sama ada kerjasama BN-PN menjejaskan sokongan bukan Melayu kepada gabungan itu pada PRN Melaka, Zahid menjelaskan sokongan rakyat pelbagai kaum hasil kerjasama itu semakin mengukuh.
“Saya fikir ini (kerjasama BN-PN) adalah satu keserasian yang baik dan saya harap ia bukan sekadar untuk menyatukan minda dan dukungan kedua-dua parti yang berseteru lebih daripada lima dekad,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.