
DAP Socialist Youth (DAPSY) mengecam keras tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengarahkan sebuah klinik pergigian ditutup selama 30 hari susulan isu bendera tergantung terbalik, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai “melampau dan melangkaui kuasa.”
DAPSY berkata meskipun semua peniaga wajar mengambil iktibar daripada insiden bendera kebelakangan ini dan menghormati Jalur Gemilang, hukuman menutup klinik sebulan adalah tidak seimbang dan meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan tempatan.
Mereka menggesa kerajaan Johor campur tangan untuk mengarahkan MPPn menarik balik arahan tersebut.
“Sekalipun terdapat kecuaian dalam menggantung bendera, penutupan selama 30 hari adalah terlalu keras. Pesakit yang sudah membuat janji temu, termasuk pembedahan, terpaksa ditangguh atau mencari rawatan lain. Yang terkesan akhirnya adalah orang awam,” kata kenyataan itu.
DAPSY menegaskan, pihak berkuasa tempatan tidak sepatutnya bertindak sebagai “polis patriotisme”, kerana tindakan sebegini membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan wujudnya double standard.
“Apabila kesilapan sama melibatkan Kementerian Pendidikan, PAS Terengganu atau Pemuda UMNO, ia dipandang ringan. Tetapi jika melibatkan peniaga biasa, hukumannya berat, daripada penutupan premis hingga ke penghinaan awam. Keadaan ini menimbulkan kemarahan dan hilang kepercayaan masyarakat,” katanya.
Mereka mengingatkan, tindakan hukuman berat hanya akan mendatangkan kesan sebaliknya, menjadikan Jalur Gemilang beban bukannya simbol perpaduan.
“Semangat patriotik seharusnya dipupuk melalui pendidikan dan galakan, bukan dengan ugutan atau hukuman. Hanya dengan itu bendera kebangsaan benar-benar menjadi lambang penyatuan rakyat,” tegas DAPSY.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.