
Istana Negara menegaskan bahawa pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan merupakan urusan kenegaraan yang sangat penting dan perlu dilaksanakan secara teliti, sah dan berintegriti, selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Istana Negara menekankan bahawa proses pelantikan tersebut hendaklah ditangani secara sah bagi memastikan pelaksanaan kuasa oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak dieksploitasi atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Pelantikan hakim mahkamah atasan adalah satu tanggungjawab kenegaraan yang memerlukan ketelitian dan integriti tertinggi, sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Istana Negara menjelaskan bahawa di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Peruntukan ini mencerminkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara yang perlu dihormati oleh semua pihak.”
Tambah kenyataan itu lagi, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) memperincikan proses penilaian dan pemilihan calon-calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tetap terletak kepada Perdana Menteri.
Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Julai ini, dan antara agenda utama adalah perbincangan berkenaan pengisian kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan bahawa Jemaah Menteri memberi jaminan proses pelantikan akan dilaksanakan sepenuhnya menurut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan mengambil maklum kebimbangan orang ramai berkaitan isu pelantikan dan akan memastikan setiap langkah mematuhi prinsip perundangan yang sedia ada.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan merangkap bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, bersama beberapa wakil rakyat partinya menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan.