
Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher, memberi amaran pada 10 Julai bahawa lebih 17 juta penduduk Yaman kini menghadapi kelaparan, termasuk lebih sejuta kanak-kanak bawah 5 tahun yang mengalami “kekurangan zat akut yang mengancam nyawa.”
Krisis ini semakin meruncing sejak hujung tahun 2023, dan angka kelaparan dijangka meningkat kepada 18 juta menjelang September. Kanak-kanak dengan kekurangan zat akut pula boleh mencecah 1.2 juta awal tahun depan, mendedahkan mereka kepada risiko kerosakan fizikal dan kognitif kekal.
Menurut data Integrated Food Security Phase Classification (IPC), lebih 17,000 penduduk Yaman berada dalam tahap krisis atau lebih buruk dari segi keselamatan makanan.
Fletcher berkata tahap penderitaan kini tidak pernah dilihat sejak sebelum gencatan senjata 2022. Namun, dana bantuan global semakin merosot, menyebabkan pemotongan bekalan makanan. Sehingga pertengahan Mei, rayuan kemanusiaan PBB sebanyak USD2.5 bilion hanya mengutip USD222 juta — 9% sahaja.
Yaman berada dalam konflik sejak 2014 apabila pemberontak Houthi yang disokong Iran merampas ibu kota Sanaa. Kerajaan sah melarikan diri ke Arab Saudi, dan pakatan ketenteraan pimpinan Saudi mula campur tangan pada 2015. Perang telah meragut lebih 150,000 nyawa dan mencetuskan antara krisis kemanusiaan terburuk dunia.
Utusan Khas PBB ke Yaman, Hans Grundberg, berkata dua serangan Houthi ke atas kapal dagang di Laut Merah minggu ini serta serangan udara Israel ke atas Sanaa dan pelabuhan utama memburukkan lagi keadaan.
Beliau juga mengulangi bahawa penyelesaian ketenteraan adalah “ilusi berbahaya” dan menyeru rundingan sebagai satu-satunya jalan damai. Pembebasan tahanan konflik adalah isyarat penting, tetapi proses itu telah terhenti lebih setahun walaupun semua pihak pernah bersetuju.