
Ketua UMNO Bahagian Kemaman merangkap bekas Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Said, menggesa rakyat supaya berfikir rasional dan tidak mudah terpedaya dengan helah PAS.
Beliau berkata, PAS bijak menggunakan kedudukan sebagai kerajaan negeri untuk mempengaruhi rakyat, khususnya melalui pemberian dana raya menjelang pilihan raya.
“Pada pilihan raya lepas, warga emas 60 tahun ke atas kebanyakannya penyokong UMNO. Namun PAS lambat beri dana raya, kemudian beri sekaligus, menyebabkan ramai berubah haluan. Hanya kira-kira 5% sahaja kekal setia pada UMNO,” katanya.
Bercakap selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman, Ahmad Said turut menegaskan bahawa beliau dan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Shabery Cheek, telah membawa pelbagai agenda pembangunan tetapi seolah-olah tidak dihargai.
“Masa Shabery bertanding, beliau seorang menteri lawan ustaz tadika, tapi tetap kalah. Saya sebagai bekas MB bawa banyak projek dan pelabur, sedangkan PAS tidak bawa apa-apa pembangunan,” ujarnya.