
Pengumuman yang dinanti-nantikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sebagai “penghargaan luar biasa” kepada rakyat Malaysia, akan dibuat esok.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
“Perdana Menteri akan membuat pengumuman sebagai tanda penghargaan kepada semua rakyat Malaysia pada jam 10.30 pagi hari Rabu. Nantikan,” katanya di Facebook.
Semalam, Anwar memaklumkan bahawa beliau memerlukan sedikit masa lagi untuk meneliti butiran pengumuman tersebut susulan retreat Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Port Dickson pada Ahad lalu.
Sebelum ini, Perdana Menteri menyatakan bahawa pengumuman yang dinanti itu berkait rapat dengan usaha kerajaan untuk membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Terdahulu, Anwar mencetuskan tanda tanya dalam kalangan rakyat apabila memuat naik teaser misteri di laman Facebook rasmi beliau.