
Sebanyak empat kawasan di Malaysia mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, manakala 63 kawasan lagi merekodkan bacaan sederhana, dan hanya satu lokasi menunjukkan kualiti udara baik setakat jam 10 pagi ini.
Menurut laman rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS), empat kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat tersebut adalah Seremban dan Nilai di Negeri Sembilan, Johan Setia di Selangor, serta Balok di Kuantan, Pahang.
Seremban mencatat bacaan tertinggi iaitu 155, diikuti Nilai (154), Balok (152) dan Johan Setia (151).
Satu-satunya kawasan yang mencatatkan kualiti udara baik ialah Langkawi, Kedah dengan bacaan IPU sebanyak 42. Setakat ini, tiada lokasi direkodkan berada pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.
Sebelum ini, beberapa laporan media memaklumkan bahawa jerebu rentas sempadan kini sedang melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) menunjukkan terdapat sebanyak 79 titik panas di Sumatera, Indonesia.
Tambah beliau, keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini berkemungkinan besar berpunca daripada tiupan angin barat daya yang membawa asap dari kawasan berkenaan.