
Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, menolak kemungkinan untuk bertanding jawatan Presiden PAS dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung September ini.
Menurut beliau, tanggungjawab yang digalas sebagai Naib Presiden ketika ini sudah mencukupi dan amat mencabar.
“Jawatan yang saya pegang sekarang pun sudah cukup berat untuk dipikul, jadi tidak timbul soal saya ingin menawarkan diri bagi jawatan lain,” katanya kepada media selepas melawat Projek Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Alor Keladi, hari ini.
Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, menegaskan bahawa jawatan Presiden PAS membawa amanah dan tanggungjawab yang sangat besar.
“Tidak, saya tidak berhasrat untuk mencabar atau merebut jawatan Presiden PAS,” katanya dengan tegas.
Mengulas berhubung kesediaan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, yang menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, Ahmad Samsuri menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada budi bicara individu berkenaan.
“Beliau sendiri menyatakan mahu ‘melihat anak bulan’ dahulu. Maka, biarlah beliau menilai dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangannya sendiri, seratus peratus.”
Apabila ditanya sama ada pencalonan Mohd Amar bagi jawatan nombor dua parti itu berpotensi memberi impak kepada barisan kepimpinan, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa PAS sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menawarkan diri sebagai pemimpin.
Tambah beliau, PAS telah melalui pelbagai fasa muktamar sepanjang sejarahnya dan terbukti sebagai sebuah parti yang matang serta bersedia menghadapi sebarang perubahan.
“Parti akan terus bergerak ke hadapan tanpa sebarang gangguan,” katanya.