
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengemukakan tiga kemungkinan mengenai cecair yang disuntik ke tubuh anaknya dalam insiden serangan di sebuah pusat membeli-belah, Rabu lalu. Bagaimanapun, beliau menjelaskan keputusan perubatan penuh hanya dapat diketahui dalam tempoh enam bulan selepas beberapa siri ujian dan pemantauan.
“Pertama, cecair yang disuntik itu mungkin dadah atau racun. Kedua, ia mungkin berbentuk agen viral — seperti hepatitis, HIV dan lain-lain. Ketiga, ia boleh jadi kosong, seperti air. Oleh itu anak saya perlu melalui proses pengenalpastian bahan yang disuntik dalam beberapa bulan akan datang,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Rafizi berkata, dalam tempoh 24 jam pertama, selain ujian darah, keutamaan adalah menjalankan ujian untuk mengenal pasti sama ada bahan itu dadah atau racun.
Sebelum itu, menerusi perkongsian di Facebook, Rafizi memaklumkan seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuknya dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mereka hendak memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah di Putrajaya pada kira-kira jam 1.45 petang, Rabu. Beliau mendakwa semakan menunjukkan dua lelaki menunggang sebuah motosikal mengekori kereta isterinya dan berpendapat individu terbabit mungkin telah merancang serangan itu lebih awal.
Rafizi memaklumkan keadaan anaknya kini baik, anaknya telah discaj dari hospital dan hadir ke sekolah seperti biasa hari ini. Namun, anaknya akan menjalani beberapa ujian lanjutan sepanjang tempoh enam bulan, termasuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh.
“Alhamdulillah isteri dan anak saya dalam keadaan baik dan keputusan kami ialah kehidupan harus diteruskan. Yang kena pergi sekolah, kena pergi sekolah. Isteri saya kena jaga kucing dan saya akan teruskan rutin harian seperti biasa,” ujarnya, kelihatan sebak ketika sidang akhbar.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.