Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menduduki tempat ke-13 dalam edisi 2027 “The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims” yang diterbitkan Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) berpangkalan di Jordan.
Menurut edisi tahunan ke-18 penerbitan itu, yang boleh diakses menerusi https://themuslim500.com, Anwar mula memegang jawatan perdana menteri Malaysia ke-10 pada November 2022. Beliau menerajui kerajaan perpaduan di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).
Strategi digital dan peralihan tenaga
Laporan itu menyatakan Anwar, yang juga menteri kewangan, mengutamakan strategi peralihan digital dan ekonomi mantap menerusi kerangka Malaysia Madani, gagasan yang dibawa beliau sendiri.
Kecerdasan buatan, semikonduktor, pusat data, pengkomputeran awan serta peralihan tenaga diletakkan sebagai teras agenda strategik kerajaan.
“Pada Jun 2026, Anwar mengetengahkan peralihan tenaga sebagai tonggak utama agenda pembangunan Malaysia, dengan menghubungkan keperluan tenaga masa depan negara secara langsung kepada perkembangan pesat sektor infrastruktur berteknologi tinggi,” menurut laporan itu.
Orang tengah keamanan dan pendirian isu Palestin
Di peringkat serantau, penerbitan itu menonjolkan peranan Anwar sebagai orang tengah dalam isu keamanan konstruktif di Asia Tenggara. Ini khususnya menerusi inisiatif diplomatik bagi meredakan ketegangan dan membina kepercayaan antara Thailand dengan Kemboja, susulan pertempuran di sempadan pada Julai 2025.
“Selaku perdana menteri Malaysia dan pengerusi Asean, beliau menjadi tuan rumah bagi rundingan antara pemimpin kedua-dua negara di Putrajaya yang membantu mencapai persetujuan gencatan senjata. Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dengan Phnom Penh, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai perantara keamanan konstruktif di Asia Tenggara.”
The Muslim 500 turut mengiktiraf Anwar antara ketua negara paling lantang di dunia dalam memperjuangkan isu Palestin. Malaysia mengekalkan sokongan teguh terhadap perlindungan orang awam dan akses kepada bantuan kemanusiaan di Gaza.
“Dengan mengambil pendirian tegas di pentas antarabangsa, Anwar mengumumkan kepada Parlimen bahawa negara sedang menerajui gabungan teras antarabangsa yang merangka resolusi rasmi untuk mengusir Israel daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Anwar mengulangi pendirian Malaysia sama sekali tidak mengiktiraf Israel adalah kekal.”
Laporan itu juga menyatakan pertemuan Anwar dengan pegawai Hamas, termasuk pemimpinnya dan Allahyarham Ismail Haniyeh, mencetuskan bantahan terbuka daripada negara Barat. Namun, perdana menteri menolaknya dengan jelas dan menegaskan hak mutlak Malaysia sebagai negara berdaulat untuk menentukan dasar luarnya sendiri.
Latar aktivisme dan akademik
Selain kepimpinan politik, pengiktirafan itu merakamkan penglibatan awal Anwar dalam aktivisme sebagai pengasas dan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia pada 1971. Beliau juga pernah menerajui beberapa portfolio Kabinet, termasuk timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 1990-an.
Laporan itu turut mengetengahkan sumbangan besarnya dalam bidang akademik. Beliau pernah memegang jawatan sebagai ahli akademik pelawat di St Antony’s College, Oxford, Johns Hopkins University dan Universiti Georgetown.
“Beliau ialah pengasas bersama International Institute of Islamic Thought yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 1981. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pro-Canselor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dari 1983 hingga 1988 serta menerima pelbagai ijazah kehormat antarabangsa.”
Dalam edisi 2027, kedudukan teratas dikongsi Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Turut berkongsi kedudukan itu ialah Perdana Menteri Pakistan, Mian Muhammad Shehbaz Sharif, dan Ketua Staf Tentera Darat, Syed Asim Munir, serta Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Pemimpin Asia Tenggara lain dalam kelompok 50 teratas ialah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, pada kedudukan ke-16, Pengerusi Nahdlatul Ulama, Yahya Cholil Staquf (ke-21), dan ulama Indonesia, Habib Luthfi bin Yahya (ke-31).
Pakar pediatrik Palestin dan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiya, yang ditahan Israel tanpa pertuduhan sejak Disember 2024, dinobatkan sebagai “The Muslim 500’s Man of the Year for 2027”. Beliau menduduki tempat ke-50 dalam senarai itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.