
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru semua Ahli Parlimen supaya mengamalkan budaya berbahas secara beradab dan sopan di Dewan Rakyat, tanpa perlu menggunakan penghinaan atau kata-kata kesat.
Ketika menyatakan rasa kagumnya terhadap gaya peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 tahun 2025 yang berbahas dengan fasih, berani, bijak mengolah fakta serta berhujah secara berhemah, Anwar menegaskan bahawa kaedah tersebut wajar dijadikan contoh oleh Ahli Parlimen.
“Saya amat berbangga dengan tahap perbahasan mereka, dan saya terfikir sejenak, mengapa Ahli Parlimen tidak boleh mencontohi perkara ini — iaitu pertama sekali, jika mahu berbahas, kita perlu menguasai ilmu, memahami isu, mengolah fakta dan menyampaikannya dengan baik.
“Anak-anak muda ini menunjukkan tahap perbahasan yang hebat dan saya amat menghargainya. Perdebatan bukan hanya soal kepintaran berbicara, tetapi juga keupayaan untuk menguasai, menelaah, memahami dan mengupas isu secara mendalam. Inilah yang patut dipelajari serta dicontohi oleh Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memuji generasi pelajar masa kini yang menunjukkan penguasaan bahasa Melayu yang tinggi, serta kebolehan berhujah dengan penuh ilmu dan kefahaman.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.