
Malaysia akan terus mengadakan komunikasi dengan pemimpin Kemboja dan Thailand bagi mencadangkan proses damai susulan konflik sempadan yang melibatkan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai telah menyampaikan penghargaan kepada beliau atas usaha mencadangkan proses damai dan gencatan senjata berkaitan konflik berkenaan.
“Tembak-menembak masih berlaku di sempadan Thailand-Kemboja. Oleh itu, saya telah meminta Menteri Luar Mohamad Hasan untuk menghubungi kementerian luar kedua-dua negara, dan jika boleh, saya sendiri akan menghubungi mereka untuk sekurang-kurangnya menghentikan pertempuran di sempadan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Semalam, Anwar menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak memandang ringan konflik yang sedang berlaku antara Thailand dan Kemboja serta kesannya terhadap negara ini.
Menurut Bernama, Perdana Menteri menyambut baik isyarat positif serta kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan pelaksanaan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk di sempadan kedua-dua negara.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis lalu di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari mengenai pihak yang dianggap mencetuskan konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara tersebut semakin meningkat sejak 28 Mei susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara telah berselisih pendapat selama beberapa dekad mengenai isu sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan, dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.