
Pembangkang sepatutnya menggunakan saluran Parlimen atau proses pilihan raya yang sah secara demokratik sekiranya mahu menurunkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pembangkang seharusnya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar di Parlimen, namun mereka tidak berbuat demikian kerana menyedari kekurangan sokongan.
Akibat itu, katanya, pembangkang memilih untuk bertindak di luar Parlimen melalui himpunan jalanan dengan mendakwa rakyat sedang berdepan tekanan hidup — dakwaan yang disifatkan tidak benar.
“Mereka kata Anwar mesti turun, tetapi Anwar sudah turunkan harga minyak. Mereka masih kata Anwar mesti turun, walaupun tarif elektrik juga telah diturunkan. Namun mereka tetap mahu berhimpun.
“Jika pembangkang benar-benar menghormati prinsip demokrasi, terdapat dua cara menurunkan seorang pemimpin — sama ada melalui pilihan raya atau melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.
“Tetapi mengapa ia tidak dilakukan? Parlimen sunyi tanpa sebarang tindakan. Hakikatnya, pembangkang tidak mempunyai sokongan. Maka mereka memilih untuk bertindak di luar Parlimen, kononnya kerajaan akan menghalang mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Temu Duga Kanak-Kanak Kontinjen Kedah di sini semalam.
Saifuddin menegaskan kerajaan tidak menghalang pembangkang untuk berhimpun, malah bersedia membantu melancarkan proses itu selagi mereka mematuhi undang-undang.
Beliau menjelaskan bahawa antara larangan yang berkuat kuasa ialah peserta tidak dibenarkan membawa kanak-kanak, membawa senjata berbahaya atau menyalakan suar dan mercun semasa perhimpunan.
“Mereka mahu berhimpun, kerajaan MADANI tetap komited kepada prinsip Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara. Apabila mahkamah memutuskan tidak perlu memberi notis kepada polis, kita akur.
“Namun di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, beberapa sekatan masih terpakai. Sebagai contoh, larangan membawa kanak-kanak dan senjata berbahaya. Jika mereka melampaui batas, pihak polis tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.