
Pihak berkuasa penerbangan awam Kemboja hari ini mengeluarkan arahan melarang semua penerbangan daripada terbang di kawasan yang terjejas akibat konflik dengan Thailand.
Menurut laporan Xinhua, Setiausaha Tetap Penerbangan Awam Kemboja (SSCA) memaklumkan semua syarikat penerbangan supaya mengelak ruang udara konflik. Ketua SSCA, Sinn Chanserey Vutha berkata dalam mesej audio kepada media: “Semua penerbangan diarahkan untuk tidak melalui ruang udara tersebut dan pesawat tidak boleh terbang di bawah ketinggian 1,200 meter dari paras laut.”
Beliau menjelaskan, langkah itu diambil bagi memastikan operasi penerbangan serta keselamatan penumpang dan kru.
Vutha menambah, setakat jam 10 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia), penerbangan antarabangsa dari Phnom Penh ke Bangkok dan Siem Reap ke Bangkok beroperasi seperti biasa kerana syarikat penerbangan telah menukar laluan untuk mengelak kawasan larangan.
Pertempuran bersenjata tercetus pada Khamis antara tentera Kemboja dan Thailand di wilayah Oddar Meanchey dan Preah Vihear. Pada sidang media hari ini, Setiausaha Negara Kementerian Pertahanan merangkap jurucakap, Leftenan Jeneral Maly Socheata memaklumkan konflik itu telah merebak ke wilayah Pursat pagi ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.