
Perikatan Nasional (PN) memberi isyarat kemungkinan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan himpunan besar-besaran di Dataran Merdeka hari ini.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata perkara itu sedang dipertimbang untuk dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul dalam masa terdekat.
“Tak apa, tunggulah… kita akan lakukan nanti. Takkan nak umumkan bila,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas himpunan berkenaan.
Kenyataan Hamzah itu dibuat selepas Anwar sebelum ini menegaskan beliau bersedia berdepan sebarang usul tidak percaya di Parlimen, malah telah meminta Speaker membenarkannya jika dibawa ke Dewan Rakyat.
Takiyuddin: Undi Rakyat Lebih Penting Daripada Undi Parlimen
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, pula berpendapat undi tidak percaya di Parlimen tidak semestinya mencerminkan sokongan sebenar rakyat terhadap perdana menteri.
Menurut beliau, kehadiran orang ramai di himpunan hari ini lebih signifikan sebagai isyarat bantahan moral terhadap kerajaan.
“Undi tidak percaya di Parlimen itu mungkin berbeza sebab bilangan ahli Parlimen tidak menggambarkan bilangan rakyat. Moral politiknya, bila rakyat berkumpul membantah, itu sepatutnya diambil kira,” katanya selepas perhimpunan tersebut.
Beliau turut memberi bayangan bahawa bantahan jalanan tidak akan terhenti di sini dan PN berkemungkinan akan terus menganjurkan himpunan serupa sehingga kerajaan menangani isu-isu yang dihadapi rakyat.
“Rakyat berdepan kesukaran dalam kehidupan dan mencari rezeki. Perkara ini perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Polis Sahkan 18,000 Hadir, Tiada Insiden Tidak Diingini
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad mengesahkan kehadiran kira-kira 18,000 orang pada himpunan yang dianjurkan parti Pas itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa perhimpunan berlangsung lancar tanpa sebarang insiden provokasi atau kekecohan.
Penganjur sebelum ini mendakwa kehadiran mencecah 500,000 orang, namun angka itu jauh berbeza dengan anggaran pihak berkuasa.
Himpunan ini dianjurkan sebagai desakan agar Anwar meletak jawatan, susulan kritikan terhadap pengurusan kerajaan dan isu kos sara hidup.
Sebelum ini, Anwar mencabar pengkritiknya untuk mengemukakan usul tidak percaya di Parlimen dan menegaskan beliau tidak gentar berdepan sebarang percubaan menggugat kedudukannya melalui saluran demokrasi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.