Azmin Ali menyatakan sokongan supaya Muhyiddin Yassin terus menerajui Bersatu sebagai presiden sehingga penggal seterusnya, selain menyifatkan pengalaman dan kewibawaan bekas perdana menteri itu masih diperlukan dalam keadaan politik semasa.
Setiausaha agung Bersatu itu berkata, Muhyiddin merupakan pemimpin berintegriti dan berpengalaman luas, di samping dihormati pelbagai pihak.
“Khidmat beliau, kewibawaan beliau, pengalaman beliau dan kepimpinan beliau sangat diperlukan dalam situasi politik semasa,” katanya kepada FMT selepas merasmikan Persidangan Bersatu Ampang.
“Beliau sangat dihormati, seorang pemimpin berintegriti dan berpengalaman luas pada peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.
Muhyiddin penggerak pemulihan PN
Azmin berkata, Bersatu turut mahu Muhyiddin menjadi penggerak utama dalam usaha memulihkan Perikatan Nasional (PN), termasuk mengetuai perbincangan bagi membentuk jajaran politik baharu dengan mana-mana pihak.
“Kami memang berpendirian supaya Muhyiddin terus memimpin Bersatu. Malah, sekiranya kita dapat memulihkan PN, kita mahu Muhyiddin menjadi penggerak utama dalam membentuk jajaran baharu dengan mana-mana pihak,” katanya.
Bersatu mahu tuntut semula PN di mahkamah
Dalam pada itu, ketika berucap di hadapan ahli Bersatu Ampang, Azmin berkata, parti itu mahu membawa kemelut berkaitan kedudukannya dalam PN ke mahkamah bagi memastikan gabungan itu kembali diterajui Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin.
Beliau menegaskan, Bersatu juga akan meneruskan tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula hak terhadap jenama gabungan itu.
“Kamu tunggu, kita akan lawan mereka dalam mahkamah supaya PN kembali kepada Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin,” katanya.
Pendaftaran PN dibatalkan JPPM
Pada 20 Okt lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Mahkamah Tinggi kemudian pada 22 Okt membenarkan permohonan gabungan itu untuk menggantung pelaksanaan keputusan JPPM.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.