Umno mungkin berdepan kesukaran mengekalkan momentum yang diraih menerusi kemenangan dalam PRN baru-baru ini sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kekal sehingga tamat penggal, kata penganalisis.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, situasi sama pernah berlaku ketika pentadbiran bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, apabila kemenangan berturut-turut dalam PRN gagal diterjemahkan kepada kejayaan di peringkat nasional.
“Momentum politik ada tempoh luputnya,” katanya kepada FMT.
Kenyataan itu menyusul selepas Anwar pada Rabu berkata kerajaan masih mempunyai lebih setahun sebelum tamat penggal dan akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan prestasi.
Pengajaran era Ismail Sabri
Ketika Ismail menjadi perdana menteri, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar dalam dua PRN penting, iaitu memenangi 21 daripada 28 kerusi di Melaka pada November 2021 dan 40 daripada 56 kerusi di Johor empat bulan kemudian.
Bagaimanapun, pada PRU15 pada November 2022, BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen, dengan 26 daripadanya dimenangi Umno, sekali gus mencatatkan prestasi paling buruk parti itu dalam sejarah PRU.
“Umno mesti mengelak daripada mengulangi kesilapan mentafsir kemenangan dalam PRN sebagai kebangkitan semula politik secara menyeluruh, khususnya apabila momentum semasa turut dibantu kerjasama dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“Jangan keliru undi pinjaman dengan undi milik sendiri,” kata Zaharuddin.
Kerjasama BN-PN dalam PRN
Tahun ini, BN meningkatkan jumlah kerusi di Johor daripada 40 kepada 48, dengan kempennya dibantu arahan PAS kepada ahli dan penyokong supaya menyokong calon BN di 23 kawasan yang tidak ditandingi PN.
Menerusi kerjasama serupa di Negeri Sembilan, BN meningkatkan jumlah kerusi daripada 14 kepada 18, manakala PN memenangi tujuh kerusi, sekali gus memberikan kedua-dua gabungan itu 25 daripada 36 kerusi.
Di Melaka pula, kerjasama pilihan raya BN dengan PN menyaksikan BN mengekalkan 21 kerusi yang dimenangi pada 2021, manakala PN memperoleh tiga kerusi.
Hubungan dengan PAS dan isu PRU awal
Zaharuddin berkata, baki tempoh penggal Parlimen akan memberi Anwar lebih banyak masa untuk menangani kelemahan pentadbiran dan memulihkan keyakinan pengundi, selain menguji sejauh mana kebangkitan semula Umno dapat dikekalkan.
“Jika Umno benar-benar kuat, mengapa perlu takut menunggu setahun lagi? Parti yang benar-benar kuat tidak takut kepada jadual pilihan raya,” katanya.
Zaharuddin turut mempersoalkan rasional mengadakan PRU lebih awal, dengan berkata landskap politik semasa sekali lagi boleh menghasilkan Parlimen tergantung dan memaksa parti-parti kembali ke meja rundingan.
“Malaysia tidak memerlukan pilihan raya lebih awal. Malaysia memerlukan pemimpin yang baik,” katanya.
Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, keupayaan Umno mengekalkan momentum sebahagiannya bergantung pada hubungannya dengan PAS.
Beliau berkata, seruan berterusan ke arah penyatuan ummah boleh membantu Umno kekal relevan dan mengekalkan perhatian masyarakat.
Bagaimanapun, Syaza berkata sikap berpuas hati susulan kejayaan pilihan raya baru-baru ini boleh memakan diri.
“Jika mereka mula terlalu yakin dan berhenti bercakap tentang kerjasama dengan PAS, saya fikir keadaan itu boleh merugikan Umno,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.