Naib Presiden Wawasan, Wan Saiful Wan Jan, mengingatkan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Nazri Aziz, supaya tidak membiarkan hasrat peribadi untuk bertanding pada PRU16 menjejaskan agenda penyatuan politik Melayu.
Katanya, pemimpin tertinggi parti yang terlibat dalam rundingan kini mengutamakan usaha menjayakan kebangkitan “gelombang biru” dan penyatuan politik Melayu, yang bermula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka.
“Mungkin ‘memo’ tak sampai kepada Nazri sebab dia tidak lagi menjadi pemimpin atasan parti.
“Kita tak boleh biarkan nafsu peribadi kita membawa kepada komen-komen yang boleh merosakkan keharmonian agenda perpaduan ummah dan penyatuan politik orang Melayu,” katanya kepada FMT.
Teguran susulan kenyataan Nazri
Teguran itu susulan kenyataan Nazri bahawa kerusi Parlimen Padang Rengas milik Bersatu, bukannya Wawasan. Beliau turut menyatakan kesediaan mencabar penyandang, Azahari Hasan.
Pertikaian itu timbul ketika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mungkin meneruskan momentum positif di Negeri Sembilan dan Melaka pada PRU16.
Nazri berkata, prinsip penyandang dalam rundingan pembahagian kerusi sepatutnya merujuk kepada parti yang menang pada pilihan raya terdahulu, bukan individu yang kemudian bertukar parti.
Beliau juga berpandangan Umno wajar diberi keutamaan di Padang Rengas jika kerjasama dengan PAS diteruskan pada PRU16. Menurutnya, kawasan itu kerusi tradisi BN, yang menduduki tempat kedua pada PRU15, manakala PAS tidak bertanding.
Wan Saiful berkata, perebutan kerusi secara terbuka tanpa mengambil kira kepentingan lebih besar hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP, yang menurutnya mahu melihat perpecahan parti politik Melayu.
“Bila Nazri atau sesiapa sahaja daripada mana-mana parti bercakap begitu dan berebut kerusi tanpa memikirkan maslahah lebih besar, maka yang bertepuk tangan ialah PH dan DAP,” katanya.
Beliau menasihatkan mereka yang berhasrat bertanding supaya berbincang dengan pemimpin parti masing-masing, agar perkara itu dapat dibawa ke meja rundingan secara harmoni.
“Bukan cari populariti peribadi dengan cara merosakkan keharmonian melalui media terbuka sebab itulah yang dikehendaki oleh PH dan DAP,” katanya.
Padang Rengas kerusi PN
Sementara itu, Ketua Penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyanggah hujah Nazri dengan menegaskan Padang Rengas kerusi PN kerana dimenangi calon tiket gabungan itu pada PRU15.
Menurut beliau, berdasarkan kenyataan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, gabungan itu menggunakan formula sama seperti pada PRN Melaka dan Negeri Sembilan, iaitu berasaskan prinsip penyandang.
“Justeru, Padang Rengas sepatutnya kekal sebagai kerusi PN. Parti mana dalam gabungan itu yang akan diberikan kerusi berkenaan, sama ada PAS, Gerakan atau Pejuang, terpulang kepada PN untuk menentukannya.
“Apa yang penting, Padang Rengas bukan kerusi BN setakat ini,” katanya.
Azahari bertegas pertahan kerusi
Pada 13 Nov lalu, Azahari menegaskan mahu mempertahankan Padang Rengas atas tiket PN pada PRU16 berdasarkan prinsip penyandang, namun menyerahkan keputusan akhir kepada pucuk pimpinan gabungan.
Azahari, yang menyertai Wawasan selepas dipecat Bersatu pada Februari lalu, menewaskan calon BN, Arrif Majid, dengan majoriti 3,046 undi pada PRU15.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.