Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi, mahu MIC memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden UMNO itu berkata kerjasama jentera parti komponen BN yang membantu MIC memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka perlu diteruskan. Menurut beliau, kerjasama itu penting bagi membolehkan MIC meraih lebih banyak kerusi Parlimen.
Harapan lima kerusi pada PRU16
“Saya mengharapkan sebagaimana dulu MIC pernah ada lima kerusi, dalam PRU ke-16 saya mengharapkan sekurang-kurangnya lima kerusi mesti dimenangi oleh MIC,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-80.
Turut hadir Presiden MIC, S A Vigneswaran, Presiden MCA, Wee Ka Siong, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), J Loga Bala Mohan, dan Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengakui jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada MIC sebelum ini belum memenuhi hasrat parti itu. Namun, beliau menghargai kesungguhan jentera MIC untuk memenangi setiap kerusi yang ditandingi.
Pada PRU15, MIC meletakkan calon di 10 kerusi Parlimen dan hanya menang di Tapah, Perak. Timbalan presidennya, M Saravanan, mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 5,064 undi.
Zahid minta Vigneswaran berbaik-baik dengan Onn Hafiz
Dalam ucapan yang sama, Ahmad Zahid meminta Vigneswaran berbaik-baik dengan Onn Hafiz, yang juga Menteri Besar Johor. Kata-kata itu memberi bayangan bahawa Presiden MIC berkenaan akan bertanding di negeri itu pada PRU16.
“Tan Sri Vicky, baik-baiklah dengan Menteri Besar Johor. Saya tahu kawasan itu selamat dan kalau kawasan itu selamat, Tan Sri Vicky akan juga selamat,” katanya.
Pada sidang media, Ahmad Zahid ditanya sama ada Vigneswaran akan bertanding di kerusi Parlimen Segamat pada PRU16. Beliau hanya menjawab, “apabila tiba masanya saya akan tandatangan watikah”.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.