
Pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, dijangka meraih pendapatan tahunan sebanyak RM1 juta menerusi kontrak baharu bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menurut laporan Berita Harian.
Laporan itu menyatakan bahawa tawaran kontrak tersebut telah dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis BAM baru-baru ini dan telah pun dipersetujui oleh kedua-dua pemain. Kontrak terdahulu mereka bersama BAM telah tamat pada Disember tahun lalu.
Difahamkan, BAM juga bersedia mempertimbangkan kenaikan nilai kontrak sekiranya Pearly-Thinaah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan terdekat, termasuk Japan Open dan China Open bulan ini, serta Kejohanan Dunia BWF pada bulan Ogos.
Pasangan ini dijangka menandatangani kontrak rasmi sebelum berlepas ke Tokyo untuk menyertai Japan Open yang akan berlangsung dari 15 hingga 20 Julai.
Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh, ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut dan meminta pihak media menunggu pengumuman rasmi daripada persatuan.
“Seperti yang telah dinyatakan oleh Presiden BAM, Tengku Zafrul Aziz, perbincangan berjalan dengan baik. Itu sahaja yang boleh saya kongsi buat masa ini. Apa yang pasti, BAM sentiasa mahu yang terbaik untuk para pemain, jadi kita tunggu pengumuman rasmi nanti,” katanya.
Walaupun sebelum ini terdapat ketidaktentuan mengenai masa depan mereka bersama BAM, Pearly dan Thinaah tetap menunjukkan prestasi konsisten di peringkat antarabangsa. Mereka menjuarai Thailand Open pada Mei lalu dan muncul naib juara dalam Indonesia Open bulan lepas.