Bersatu menolak Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sebelum ini kerana ia menawarkan pelbagai syarat, dakwa Marzuki Mohamad.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin itu mendakwa, antara syarat tersebut termasuk larangan membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi Raja (3R).
“Ada orang kata dulu tolak CSA sekarang terima. Dulu tolak kerana syaratnya macam-macam.
“Sekarang syarat-syarat ini sudah tiada,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Komitmen baharu dalam CSA
Marzuki menambah, CSA terbaharu turut memasukkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi dan memperkasakan agenda Bumiputera.
Termeterai dengan Bersatu dan wakil rakyat lain
Sebelum ini, kerajaan menandatangani CSA dengan enam anggota Parlimen Bersatu yang diketuai Presiden, Muhyiddin Yassin, serta tujuh yang lain, termasuk anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Pertemuan itu berlangsung di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata persefahaman yang dimeterai itu menjadi asas kepada kerjasama yang konstruktif. Menurutnya, ia memperkukuh keyakinan terhadap proses demokrasi dan membuka ruang bagi memastikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.