
Premier Sarawak Abang Johari Abang Openg menyifatkan pengunduran beliau daripada kepimpinan apabila tiba masanya kelak sebagai satu proses yang semula jadi.
Beliau berkata, faktor usia dan kesihatan akan menjadi antara pertimbangan utama dalam keputusan itu.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan menyediakan barisan pelapis yang mempunyai latihan dan pengalaman, bagi memastikan pembangunan serta pentadbiran Sarawak terus dilaksanakan secara berpasukan.
“Saya memang ada menyebut perkara itu (berundur selepas 2030) di Miri.
“Itu proses biasa kerana memang kita akan berundur apabila sampai masa, kerana usia kita sentiasa bergerak ke hadapan, bukan ke belakang,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Mukah, di sini hari ini.
Kepimpinan secara berpasukan
Abang Johari berkata, kepimpinan negeri perlu dibangunkan secara berpasukan, dengan setiap pemimpin memainkan peranan masing-masing, termasuk menyediakan pengganti yang terlatih.
“Saya dengan Douglas Uggah (Timbalan Premier, Douglas Uggah Embas) sudah lama dilatih (sebelum memimpin kerajaan Sarawak).
“Kena ada usaha bersama sebagai satu pasukan dalam memastikan pembangunan negeri, jadi kita mesti latih pelapis dan kena ada pasukan,” katanya.
Menggunakan analogi bola sepak, beliau berkata, sesebuah pasukan memerlukan pemain dengan peranan berbeza serta seorang kapten untuk memimpin pasukan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Usia dan kesihatan jadi pertimbangan
Ketika ditanya sama ada beliau boleh mempertimbangkan untuk kekal selepas 2030 berikutan ramai yang mahukannya, Abang Johari berkata, usia dan kesihatan adalah perkara penting yang perlu diambil kira.
Pada program di Miri pada 13 September lalu, beliau memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mungkin menjadi pilihan raya terakhir yang disertainya, apabila beliau menjangkau usia 80 tahun pada 2030.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.