
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee, yang dikenali sebagai ‘YB Beliau’, mengesahkan sedia kembali bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk kemungkinan di kawasan berkenaan.
Norhizam yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya berkata, senarai calon, agihan kerusi dan kawasan yang bakal ditandinginya masih belum diputuskan pimpinan parti.
“Saya akan bertanding, tetapi kerusi mana saya tidak tahu lagi, itu pun sekiranya tersenarai.
“Saya juga terbuka untuk ditempatkan di mana-mana kawasan sekiranya itu keputusan parti, namun masih mempunyai hasrat untuk kembali berkhidmat kepada penduduk Pengkalan Batu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sokongan masyarakat setempat
Menurut Norhizam, hasrat itu turut didorong sokongan masyarakat setempat yang masih mengharapkan beliau kembali menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Saya mengambil maklum mengenai poster ‘comeback’ yang tular di media sosial, namun tidak mengetahui pihak yang menghasilkan dan menyebarkan poster itu.
“Saya juga menghargai sokongan masyarakat terhadap hasrat untuk kembali bertanding pada PRN kali ini, selain melihat Pengkalan Batu masih memerlukan pemimpin yang berani, tegas dan sentiasa bersama rakyat. Bagi saya, dicampak ke laut jadi pulau, dicampak ke darat jadi busut,” katanya.
Latar belakang politik Norhizam
Norhizam pernah menjadi ADUN Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 atas tiket DAP, sebelum keluar parti pada 2020 dan menjadi ADUN Bebas.
Pada PRN Melaka 2021, beliau bertanding semula di DUN Pengkalan Batu sebagai calon Bebas menggunakan lambang kunci. Namun, beliau hanya memperoleh 1,218 undi dan hilang deposit.
Kerusi berkenaan kemudiannya disandang Kalsom Noordin dari Barisan Nasional (BN).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.