
DAP perlu membina semula sokongannya di luar kelompok pengundi tradisi menjelang PRU16, sambil terus mempertahankan sokongan teras masyarakat Cina, kata Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook.
Dalam wawancara dengan The Straits Times Singapura pada 1 Okt dan diterbitkan hari ini, beliau berkata DAP tidak akan sesekali mengambil mudah sokongan masyarakat Cina.
Sokongan Cina dan realiti gabungan
Berdasarkan keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini, Loke percaya DAP masih mampu meraih kira-kira 80% sokongan pengundi Cina. Namun, beliau mengakui untuk mencapai 90% adalah sesuatu yang sukar.
Menurut beliau, realiti politik Malaysia juga menuntut parti dalam sesebuah gabungan mencapai persefahaman. Justeru, DAP tidak semestinya dapat melaksanakan sepenuhnya apa yang diperjuangkannya.
“Kami tahu kadangkala keadaan seperti ini mengecewakan, tetapi itulah realiti politik Malaysia,” katanya.
“DAP tidak mungkin dapat membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa bekerjasama dengan pihak lain. Ini realiti yang perlu kita terima.
“Kita hanya boleh memperjuangkan sesuatu setakat yang termampu dengan menggunakan hujah yang objektif dan meyakinkan untuk melaksanakannya dalam sistem sedia ada.”
Pandangan terhadap Bersama dan Muda
Ditanya mengenai kemunculan Bersama, Loke berkata gerakan kuasa ketiga dan parti yang membawa idealisme tinggi lazimnya sukar mengekalkan momentum dalam politik Malaysia.
“Contoh paling terkini ialah Muda. Mereka tampil dengan matlamat yang sangat idealistik, calon baharu, golongan muda, profesional dan sebagainya.
“Tetapi selepas pilihan raya, mereka langsung tidak kelihatan.”
Pintu kerjasama tidak ditutup
Walau bagaimanapun, Loke berkata beliau tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berpotensi menjadi rakan politik. Beliau merujuk keputusan DAP bekerjasama dengan Umno selepas PRU 2022 bagi membentuk kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim.
“Saya tidak menutup pintu kepada sesiapa. Saya percaya kita sudah sampai ke satu tahap di mana politik perlu lebih anjal.
“Sudah tentu bukan tanpa prinsip atau syarat tertentu kerana semuanya bergantung kepada keadaan dan apa yang terbaik untuk negara bergerak ke hadapan.”
Loke juga tidak menolak kemungkinan DAP bertanding secara bersendirian pada pilihan raya umum akan datang, dan bukan sebagai sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).
“Seboleh-bolehnya saya mahu mempertahankan gabungan PH.
“Tetapi strategi pilihan raya kita perlu dinilai semula dari semasa ke semasa. Kita perlu melihat strategi terbaik bukan sahaja untuk DAP, tetapi juga rakan-rakan kita.
“Saya hanya boleh menjawab perkara itu apabila Parlimen dibubarkan,” katanya.
Loke turut menyifatkan kekalahan teruk DAP pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu sebagai sesuatu yang akhirnya mungkin membawa manfaat kepada parti itu.
Beliau yakin naratif penyatuan Melayu yang dibawa Umno dan PAS tidak mampu bertahan dalam jangka panjang, sambil merujuk krisis diraja yang sedang berlaku di negeri itu.
Mengenai keputusannya untuk meletak jawatan sebagai menteri pengangkutan susulan pengampunan bersyarat Najib Razak, Loke berkata beliau tetap berpegang kepada pendiriannya. Beliau menegaskan akan berundur sebaik sahaja bekas perdana menteri itu mula menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
“Sudah tentu ada yang mengatakan ini sekadar lakonan, tindakan politik dan sebagainya.
“Tetapi saya sudah mempertaruhkan kedudukan saya. Sebaik sahaja beliau pulang ke rumah, saya perlu berhenti. Saya tidak akan berdolak-dalik atau melengah-lengahkan perkara ini. Dia pulang ke rumah, saya berundur.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.