
Bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli Bersatu sudah dan bakal meninggalkan parti itu untuk menyertai gerakan Reset, yang nama rasminya akan diumumkan tidak lama lagi.
Rahim, yang juga bekas Ketua Bersatu Melaka, mendakwa penghijrahan itu berlaku secara semula jadi kerana ahli semakin kecewa dengan budaya dalam parti, bukan kerana dihasut oleh mana-mana pemimpin, termasuk bekas Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin.
“Jadi bukanlah Hamzah yang menghasut untuk memecahkan Bersatu. Ini berlaku kerana apa yang terjadi dan menjadi amali dalam parti sendiri itulah yang menyebabkan penghijrahan beramai-ramai,” katanya menerusi Facebook.
Hamzah lancar gerakan Reset selepas dipecat
Hamzah dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu, susulan krisis kepimpinan parti yang diterajui Muhyiddin Yassin. Sehari kemudian, beliau melancarkan gerakan Reset dan dilaporkan bakal mengetuai sebuah parti baharu.
Selain Hamzah, antara wakil rakyat dan pemimpin yang turut dipecat ialah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor). Bekas Naib Presiden Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsuddin pula antara pemimpin yang digantung keahlian.
Bersatu dibelenggu budaya politik negatif
Mengulas lanjut, Rahim berkata Bersatu kini tidak lagi mampu bergerak jauh kerana dibelenggu budaya politik yang negatif dan merosakkan.
Beliau turut mempertahankan sokongannya terhadap gerakan Reset, sambil menegaskan ia bukan bertujuan memecahkan Bersatu, sebaliknya lahir daripada kekecewaan ahli terhadap kepincangan yang berlaku dalam parti sendiri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.