
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap pihak sekolah yang didapati cuai dalam insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik, meskipun pelakunya disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau mempersoalkan kewajaran tugas pemasangan bendera diberikan kepada pekerja OKU tanpa pengawasan, dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.
“Jika benar pelaku adalah OKU, maka sekolah tetap perlu dipertanggungjawabkan kerana membiarkan tugas penting ini tanpa pemantauan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu susulan pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri Lukut, Choo Ken Hwa, bahawa pelaku insiden di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua di Port Dickson adalah OKU.
Pihak sekolah telah memohon maaf secara terbuka menerusi kenyataan bersama Lembaga Pengelola dan PIBG pada Sabtu lalu.
Dr Akmal berkata, kegagalan pihak sekolah menyedari kesilapan itu sejak awal menunjukkan sikap sambil lewa terhadap simbol negara.
“Tiada siapa ambil peduli walaupun bendera telah dipasang secara terbalik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa status OKU tidak harus dijadikan alasan untuk melepaskan tanggungjawab jika kes seumpama ini berulang.
“Kita tidak mahu OKU dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab!” tegasnya.
Beliau juga mendesak Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti jenis ketidakupayaan pekerja tersebut sama ada fizikal atau mental.
“Saya mahu KPM siasat betul-betul, adakah OKU itu fizikal atau mental? Jika mental, adakah sesuai kerja di kawasan sekolah?”
Dr Akmal turut membidas ahli politik yang menyelar kenyataannya sebagai ‘memainkan isu’ dan menegaskan bahawa ini adalah soal patriotisme, bukan politik.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.