
Sebuah pesawat Boeing 747 kargo dari Dubai terbabas dari landasan ke laut ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, dengan empat kru diselamatkan dan dua orang di darat maut.
Pengendali lapangan terbang berkata, “Insiden berlaku pada 3.50 pagi Isnin, landasan utara ditutup manakala landasan selatan dan tengah terus beroperasi.”
Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong berkata, “Pesawat itu menyimpang dari landasan utara selepas mendarat dan terjunam ke laut,” katanya. “Dua kakitangan darat terjejas dan terjatuh ke laut, keadaan mereka masih menunggu pengesahan.”
Media tempatan memetik polis melaporkan dua mangsa maut berada dalam kenderaan darat yang dipercayai dirempuh. Polis belum mengulas.
Emirates berkata, “Penerbangan EK9788 mengalami kerosakan ketika mendarat di Hong Kong dan merupakan pesawat kargo Boeing 747 yang disewa secara ‘wet lease’ daripada ACT Airlines. Kru disahkan selamat dan tiada kargo di dalam pesawat.” ACT Airlines ialah syarikat penerbangan Turkiye.
Perkhidmatan penjejakan penerbangan FlightRadar24 menyatakan pesawat itu berusia 32 tahun, asalnya pesawat penumpang sebelum ditukar kepada kargo.
Jabatan Penerbangan Awam memaklumkan kejadian kepada Pihak Berkuasa Siasatan Kemalangan Udara dan akan menyokong siasatan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.