
Pasukan bomba terpaksa mengepam air laut untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Muhibbah, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang.
Kebakaran itu dipercayai bermula kira-kira 10 malam tadi. Api marak dan merebak ke kawasan simpanan gentian berhampiran yang menempatkan susunan bongkah pelampung setinggi 3m.
Sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang serta Johor Jaya menyertai operasi pemadaman yang masih diteruskan sehingga kini.
Api merebak melepasi kawasan sampah
Komander Operasi BBP Pasir Gudang, Zuhdieyusni Said, berkata api dikesan merebak melepasi kawasan sampah pada 3.17 pagi tadi. Kawasan terjejas merangkumi 46.5m persegi serta stor gentian bersebelahan.
Menurutnya, anggota bomba tiba di lokasi pada 10.11 malam, iaitu tujuh minit selepas menerima panggilan kecemasan. Ketika itu, kebakaran membabitkan kawasan sampah terbuka seluas 0.0232 hektar.
Ketiadaan sumber air jadi cabaran
“Namun, operasi berdepan kesukaran berikutan ketiadaan sumber air berhampiran, sekali gus memaksa anggota bomba mengepam air laut serta berulang-alik mengisi semula tangki jentera dari pili bomba terletak kira-kira 3.5km dari lokasi,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor bermula 5.33 pagi.
BBP Johor Jaya mengendalikan bahagian depan menggunakan aliran hos 120m dengan dua pancutan air daripada pam mudah alih yang mengepam air laut.
Manakala BBP Pasir Gudang di bahagian belakang menggunakan satu lagi aliran hos 120m dan dua pancutan air laut.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.