
Pengarah Komunikasi PKR merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata tindakan Kerajaan MADANI membenarkan himpunan aman tanpa gangguan atau kekerasan menunjukkan komitmen tinggi terhadap prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara.
Beliau menegaskan, menghormati hak berhimpun bukan tanda kelemahan pentadbiran, sebaliknya bukti demokrasi Malaysia semakin matang. Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menghargai peranan pasukan keselamatan yang memastikan perhimpunan berjalan lancar dan aman.
“Kehadiran anggota keselamatan tanpa gas pemedih mata, belantan atau perisai rusuhan mencerminkan kematangan institusi kita dengan memperkukuh peranan mereka dalam ekosistem demokrasi negara,” katanya.
“Aspirasi MADANI bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak rakyat untuk hidup bermaruah.”
Adam Adli berkata kerajaan tidak melihat himpunan seperti ini sebagai ancaman, tetapi sebagai simbol budaya politik yang meraikan pelbagai pandangan.
“Dalam demokrasi, suara yang menyokong atau menentang adalah penting dan wajar dilindungi. Kerajaan telah membuktikan keupayaan melindungi ruang demokrasi,” katanya.
Beliau menambah bahawa usaha berterusan menangani kos sara hidup, membasmi kemiskinan serta melaksanakan reformasi dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan membuktikan komitmen kepimpinan terhadap kesejahteraan rakyat.
Semalam, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan perhimpunan di ibu negara yang dihadiri kira-kira 18,000 orang berlangsung dengan aman, terkawal dan tanpa sebarang insiden yang mengancam ketenteraman awam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.