
Sebanyak 257 kemalangan melibatkan 442 kenderaan direkodkan di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) laluan Gerik–Jeli dari Januari hingga Jun tahun ini, menurut Ketua Polis Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman.
Beliau memaklumkan lapan daripada kemalangan itu adalah maut, dengan jumlah keseluruhan 22 korban.
“Jumlah kematian merujuk kepada semua mangsa kerana kemalangan maut selalunya melibatkan lebih daripada seorang mangsa. Contohnya, satu nahas bas pada 9 Jun mengorbankan 15 orang, kesemuanya pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.
Kenderaan terlibat termasuk 287 kereta, 55 kenderaan pelbagai guna atau van, 42 motosikal, 38 pikap, 17 lori dan 3 bas.
Menurut bancian trafik 2024 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), laluan JRTB masih berada pada tahap perkhidmatan yang baik dan konfigurasi semasa mampu menampung jumlah trafik.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata laluan ini mencatatkan jumlah trafik harian sebanyak 2,409 kenderaan, dengan 751 kenderaan berat atau 31.2% daripada jumlah keseluruhan.
“Laluan JRTB dikategorikan sebagai kawasan berbukit, direka mengikut kontur Banjaran Titiwangsa. Reka bentuk lorong tunggal dua hala ini menepati piawaian teknikal dan fungsional,” katanya.
Bagi meningkatkan keselamatan jalan raya, Ketua Pengarah JKR Roslan Ismail berkata pihaknya melaksanakan program rawatan lokasi hitam di bawah inisiatif Naik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan. Sejak 2018, sebanyak 16 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kerap kemalangan.
“Pendekatan ini berasaskan prinsip ‘Kos Rendah, Impak Tinggi’. Jika kaedah rawatan yang digunakan tepat, kadar kemalangan dapat dikurangkan dengan kos yang rendah,” jelasnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.