
Suruhanjaya Persaingan India (CCI) telah mengeluarkan amaran terakhir kepada Apple berhubung kes antitrust yang berlarutan.
Satu perintah sulit menunjukkan bahawa badan pemerhati itu akan meneruskan kes secara sepihak jika Apple terus melengah-lengahkan maklum balas.
CCI menyatakan bahawa Apple telah menjejaskan disiplin prosedur siasatan selama lebih setahun.
Reuters melaporkan bahawa Apple bimbang bakal didenda sehingga $38 bilion jika pengiraan denda berdasarkan perolehan global digunakan.
Apple menafikan dakwaan menyalahgunakan kedudukannya dalam pasaran gedung aplikasi iOS.
Syarikat gergasi teknologi itu telah mencabar peraturan denda berkenaan di mahkamah India.
Walaupun kes mahkamah masih berjalan, Apple dilaporkan cuba menangguhkan keseluruhan siasatan secara sulit.
Permintaan tersebut telah ditolak oleh CCI pada 31 Disember lalu.
CCI sebelum ini meminta Apple memfailkan bantahan terhadap penemuan siasatan pada Oktober 2024.
Bagaimanapun, Apple telah menerima “pelbagai pelanjutan masa” sejak tarikh berkenaan.
“Tindakan melengah-lengahkan ini tidak boleh diteruskan selama-lamanya,” tegas CCI dalam perintahnya.
Sumber mendakwa Apple melihat langkah CCI ini sebagai cubaan mendahului keputusan mahkamah yang dijadualkan pada 27 Januari.
Apple dilaporkan tidak akan memberikan respons sebelum tarikh pendengaran mahkamah tersebut.
Pertikaian ini bermula pada 2022 apabila pemilik Tinder, Match Group dan syarikat pemula India memfailkan aduan.
Penyiasat pada 2024 menyimpulkan bahawa Apple terlibat dalam “kelakuan kesat” dalam pasaran aplikasi iOS.
Setakat ini, Apple belum memberikan maklum balas rasmi terhadap pertanyaan media.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.