
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegur dan memberi nasihat serta panduan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.
Tindakan itu dibuat susulan penelitian terhadap isu yang mengaitkannya dengan New Age Movement (NAM).
Ketua Pengarah Sirajuddin Suhaimee berkata perkara itu melalui siasatan menyeluruh.
Ia termasuk sesi pertemuan dan tabayyun dengan Marhamah bagi mendapatkan penjelasan secara langsung.
Siasatan melibatkan pelbagai pihak
Katanya, sesi itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah Jakim serta pihak berkaitan.
Mereka meneliti isu berkenaan dari sudut akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.
“Hasil pertemuan tersebut, beberapa teguran, nasihat dan panduan telah diberikan termasuk berkaitan kandungan dan pengisian program yang telah dijalankan serta pendekatan yang digunakan dan mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah,” katanya dalam kenyataan.
Marhamah nafi dakwaan
Pada 18 Sept lalu, Marhamah menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age.
Beliau memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan itu untuk menarik balik kandungan berkenaan serta memohon maaf.
Pejabatnya berkata tangkap layar hantaran Marhamah bertarikh 20 Sept 2019 yang menjadi pertikaian dibuat dalam konteks pembangunan insan.
Ia bukan sebagai sokongan atau pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan, ajaran atau amalan individu yang dirujuk.
Pejabat Marhamah juga menegaskan Marhamah tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubung secara langsung dengan individu terbabit.
Selain itu, beliau menafikan pernah mengajar, mempromosi atau menyebarkan amalan yang didakwa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.