
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, mengingatkan pemimpin politik di Johor agar tidak menggunakan DAP sebagai sasaran kebencian semasa berkempen, sementara pada masa yang sama bersikap sebaliknya demi pembangunan negeri.
Beliau berkata politik “dua wajah” sedemikian hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan seseorang pemimpin.
“Rakyat semakin matang menilai politik. Tidak wajar apabila DAP digambarkan sebagai ancaman ketika musim pilihan raya, tetapi apabila melibatkan pembangunan negeri, pelaburan, infrastruktur dan projek kerajaan, pemimpin yang sama tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, landskap politik hari ini menuntut kematangan dan kejujuran, bukannya sandiwara yang menggunakan sentimen kebencian sebagai modal politik untuk meraih sokongan pengundi Melayu.
Onn Hafiz dan Loke bertemu mesra selepas perang mulut
Kenyataan Mahfuz itu menyusul pertemuan antara Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, yang mengetepikan seketika perbezaan politik apabila bertemu mata dan saling bersalaman pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai, semalam.
Perang mulut kedua-dua pemimpin itu bermula pada 7 Jun, selepas Onn Hafiz menyatakan beliau lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada “duduk semeja” dengan DAP dalam kerajaan negeri, mengulas keputusan BN bertanding secara solo dalam PRN Johor pada 11 Julai.
Loke kemudian menegur Onn Hafiz dengan mengingatkan bahawa beliau sendiri duduk bersebelahan Presiden Umno, Zahid Hamidi, dalam mesyuarat Kabinet, suatu tanda kerjasama erat antara DAP dan Umno di peringkat persekutuan.
Percanggahan naratif politik dipersoal
Mahfuz berkata pada prinsipnya tiada pihak yang mempertikaikan keperluan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan demi kepentingan rakyat serta pembangunan Johor.
Namun, persoalan timbul apabila berlaku percanggahan dalam naratif politik, di mana pemimpin dan parti dalam Pakatan Harapan (PH) sering dijadikan sasaran serangan ketika berkempen.
“Jika kerjasama dengan DAP dan PH dianggap baik untuk rakyat hari ini, maka pemimpin perlu berani mengakui hakikat tersebut,” katanya.
Mahfuz turut menegaskan bahawa Johor telah menikmati banyak manfaat hasil kerjasama erat dengan kerajaan persekutuan melalui pelbagai projek strategik yang diterajui oleh kementerian di bawah pimpinan PH.
“Justeru tidak adil apabila kejayaan mahu dikongsi, tetapi pada masa sama sentimen kebencian terhadap rakan dalam kerajaan perpaduan terus dimainkan demi kepentingan politik sempit,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.