
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Wakil rakyat DAP itu, yang merupakan penyandang kerusi pertama memilih untuk berundur menjelang pilihan raya, menegaskan keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan keluarga serta penyokong rapat.
Pengumuman ini sekaligus menamatkan spekulasi berhubung masa depan politiknya, lebih-lebih lagi ketika desas-desus mengenai kemungkinan PRN diadakan pada Ogos ini semakin kencang beredar.
Menang besar pada PRN 2022
Marina pertama kali bertanding dan menang pada PRN Johor 2022 mewakili Pakatan Harapan (PH), meraih majoriti lebih 13,000 undi di kerusi Skudai dengan menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya membuat keputusan untuk tidak bertanding dan berundur daripada arena politik,” katanya kepada New Straits Times.
Kembali kepada kerja kemasyarakatan
Marina berkata beliau berhasrat untuk kembali memberi tumpuan kepada kerja kemasyarakatan yang disifatkannya sebagai satu panggilan jiwa dan sentiasa dekat di hatinya.
Walaupun tidak menyatakan sebab khusus di sebalik keputusan tersebut, beliau menjelaskan bahawa setiap fasa kehidupan mempunyai penghujung tersendiri, dan langkah berundur itu tidak bermakna beliau akan berhenti berkhidmat kepada masyarakat.
Beliau turut menegaskan akan terus melaksanakan tugas sebagai Adun sehingga wakil rakyat baharu dipilih.
“Jika terdapat kelemahan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf. Saya hanya manusia biasa,” katanya, sambil merakamkan penghargaan kepada para penyokong, sukarelawan dan kakitangan atas segala sumbangan yang diberikan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.