
Pertukaran jawatan pengarah pilihan raya PKR merupakan sebahagian daripada rombakan strategik bagi memperkukuh jentera parti menjelang pilihan raya akan datang.
Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, berkata sebarang perubahan portfolio dalam parti politik mahupun kerajaan adalah amalan biasa yang dilakukan mengikut keperluan semasa.
Beliau menegaskan rombakan tugas dalam sesebuah organisasi tidak wajar ditafsirkan sebagai mencerminkan kelemahan mana-mana pemimpin, termasuk Nurul Izzah Anwar yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden PKR.
Rekod Nurul Izzah tidak dipertikaikan
“Tidak timbul soal beliau tidak layak atau tidak berkemampuan kerana beliau pernah menjadi pengarah pilihan raya sebelum ini, termasuk pada PRU14, dan ketika itu parti berjaya membentuk kerajaan.
“Ini hanyalah sedikit rombakan strategik yang dilakukan bagi memastikan gerak kerja pilihan raya dapat dijalankan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya kepada pemberita di Karnival Belia Madani Padang Rengas.
Amirudin Shari bawa pengalaman luas
Mengulas mengenai pelantikan Naib Presiden Amirudin Shari sebagai pengarah pilihan raya parti bersama Saifuddin Nasution Ismail, Kamil berkata pemimpin itu memiliki pengalaman luas dalam menguruskan operasi dan organisasi pilihan raya.
“Sebelum ini, beliau bergerak sebagai pengarah operasi pilihan raya, jadi beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan. Saya yakin beliau mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.