
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan agar PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan di pentas pilihan raya, susulan pertikaian yang semakin memanas mengenai kekuatan jentera parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau menegaskan bahawa tiada harapan untuk kerjasama yang harmoni sekiranya kenyataan mengenai kelemahan jentera Bersatu terus disifatkan sebagai pandangan orang yang “pekak.”
Fadhli merujuk kepada penularan video ceramah Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali di Melaka malam sebelumnya, yang menggunakan label tersebut dalam ucapannya.
Isu Perlis dan Negeri Sembilan bayangi hubungan PN
Fadhli turut mengaitkan kebimbangannya dengan tindakan Bersatu dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan, yang menurutnya menimbulkan persoalan sama ada parti itu mampu membuat pertimbangan yang wajar dalam pembentukan kerajaan persekutuan selepas PRU16.
“Secara peribadi saya cadangkan jalan terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengarannya, lebih terang penglihatannya dan lebih kuat deria baunya. Selamat Maju Jaya,” kata Fadhli menerusi Facebook.
Hadi dakwa PAS tanggung beban jentera Bersatu
Presiden PAS Hadi Awang pada 22 Mei mendakwa Bersatu hanya menuntut bilangan calon dalam PRK dan PRN, tetapi tidak mempunyai jentera yang mencukupi untuk berkempen, lalu menyebabkan PAS terpaksa mengerahkan jenteranya sendiri turun ke lapangan.
Hadi turut mengkritik tindakan Bersatu di Perlis yang menyaksikan peralihan jawatan menteri besar kepada parti itu daripada PAS, serta mempersoalkan tindakan dua Adun Bersatu yang menarik balik sokongan untuk membentuk kerajaan negeri bersama Umno dalam krisis politik Negeri Sembilan.
Fadhli: Nafikan kelemahan punca keputusan tersasar
Mengulas lanjut, Fadhli berkata bukan satu kesalahan jika sesebuah parti tidak mempunyai jentera yang kuat, apatah lagi jika parti itu masih baharu. Namun, masalah timbul apabila kelemahan itu gagal diakui, sehingga keputusan politik dibuat berasaskan keyakinan yang tidak mencerminkan kekuatan sebenar.
“Yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu. Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.