
Presiden MIC Vigneswaran berkata parti itu menghormati keputusan Perikatan Nasional (PN) yang tidak lagi membuka ruang penyertaan kepada MIC, dan menegaskan tiada sebarang masalah dengan mana-mana komponen dalam gabungan pembangkang berkenaan.
“Apabila tawaran itu diberikan sebelum ini, kepimpinan PN diterajui Bersatu dan ketika itu MIC memang bersedia menyertainya,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga MIC sempena ulang tahun ke-80 parti itu di Taman DR Seenivasagam, Ipoh.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan muktamad tidak sempat dibuat, dan apabila berlaku perubahan kepimpinan, mandat yang diberikan oleh akar umbi MIC adalah berdasarkan kepimpinan PN yang diterajui Bersatu ketika itu.
PN batalkan keputusan terima MIC
Pada 17 Mei lalu, media melaporkan bahawa keputusan PN menerima penyertaan MIC sebelum itu tidak lagi relevan dan terbatal kerana tiada pengesahan daripada pihak MIC. Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata perkara itu telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.
Vigneswaran menegaskan MIC akan terus bersama Barisan Nasional (BN) walaupun tidak diberikan sebarang peranan dalam kerajaan perpaduan, kerana jawatan bukan keutamaan dalam perjuangan parti.
“Kerusi penting, tetapi tidak sepenting menjaga hak semua kaum. Kita tidak ada jawatan pun tidak merajuk. Kalau kita kembali kepada asas perjuangan parti, jawatan hanya melibatkan segelintir individu. Yang lebih mustahak ialah memastikan hak semua kaum dipelihara dan dijamin,” katanya.
Beliau turut menegaskan MIC masih relevan dalam landskap politik negara, kerana parti berasaskan kaum memainkan peranan penting sebagai platform membincangkan keperluan komuniti tertentu dalam masyarakat majmuk. Menurutnya, parti-parti komponen BN mampu duduk semeja dan mencari penyelesaian terbaik untuk semua kaum, selaras Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang diamalkan sejak kemerdekaan.
Fokus menang, bukan rebut banyak kerusi
Vigneswaran berkata MIC akan memfokuskan kemenangan berbanding kuantiti kerusi yang ditandingi pada PRN Johor, dalam usaha memastikan BN terus mendapat mandat mentadbir negeri itu.
“Ia mengenai usaha untuk BN terus berkuasa di Johor. Jadi, kita perlu memilih calon dan kerusi yang terbaik. Bukan lagi soal mahu banyak kerusi kerana jika tidak menang, ia menjadi sia-sia,” katanya.
Vigneswaran turut memaklumkan bahawa rundingan kerusi bagi PRN Johor telah dilaksanakan, manakala PRN Melaka dijangka tidak menghadapi sebarang masalah. Beliau menyerahkan kepada kepimpinan BN untuk mengumumkan jumlah kerusi dan DUN yang diperuntukkan kepada MIC.
PRN Johor: BN sasarkan semua 56 kerusi DUN
Pada 16 Mei lalu, BN Johor mengumumkan akan bertanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang. Pada PRN Johor Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan menang 12 kerusi, PN tiga kerusi dan Muda satu kerusi.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April 2027.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.