
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mula dilihat sebagai medan ‘panas’ yang bakal mencuri perhatian. Persaingan dijangka sengit, manakala percaturan calon masih belum dimuktamadkan.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah empat kerusi DUN dalam Parlimen Tangga Batu, khususnya Sungai Udang dan Paya Rumput. Spekulasi pertukaran calon dan kemungkinan penjajaran baharu antara parti mencetuskan pelbagai tanda tanya menjelang hari penamaan calon.
Rais Yasin dikaitkan dengan Sungai Udang
Sungai Udang dilihat menjadi titik panas susulan spekulasi pertukaran kerusi EXCO Kanan Melaka, Rais Yasin.
Sumber berkata, jika Rais berpindah daripada DUN Paya Rumput ke Sungai Udang, ia dikatakan mampu mencetuskan rangkaian percaturan baharu membabitkan calon Barisan Nasional (BN) dan parti lawan di kawasan Parlimen itu.
Menurut sumber itu, nama Ketua Umno Bahagian Tangga Batu tersebut semakin kuat dikaitkan dengan Sungai Udang. Beliau dilihat aktif dalam program kemasyarakatan dan pembangunan di kawasan berkenaan, selain pernah menyatakan kesediaan mematuhi keputusan pucuk pimpinan parti.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Ab Rauf Yusoh, turut memberi bayangan Rais akan berpindah kerusi ke Sungai Udang pada PRN kali ini.
“Sungai Udang sebelum ini dianggap sebagai kubu BN, namun berjaya ‘ditebuk’ calon Bersatu, Mohd Aleef Yusof, apabila menewaskan Mohamad Ali Mohamad mewakili BN pada PRN 2021 dengan majoriti 530 undi.
“Justeru, bagi mengembalikan semangat juang BN di DUN berkenaan, Rais dikatakan tokoh paling layak untuk dicalonkan, sekali gus merampas kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang itu,” katanya kepada BH.
Siapa ganti Rais di Paya Rumput?
Rundingan persefahaman politik antara BN dan PAS yang sedang berlangsung turut menentukan calon baharu yang akan menggantikan Rais di Paya Rumput.
Jika rundingan itu membuahkan hasil positif, calon PAS dikatakan akan diletakkan di kerusi berkenaan. Calon itu bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH) serta beberapa calon parti lain.
Sumber berkata, perpindahan Rais turut membuka ruang kepada PH, khususnya PKR, untuk menampilkan calon ‘heavyweight’ bagi merampas Paya Rumput.
“Nama Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Azman Abidin, dikatakan antara yang disebut dalam percaturan berkenaan walaupun pencalonan itu masih berupa spekulasi dan belum dimuktamadkan secara rasmi,” katanya.
Paya Rumput bukan asing dengan persaingan sengit. Rais memenangi kerusi itu pada PRN 2021 dengan majoriti 629 undi, selepas menewaskan calon PH, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Pantai Kundor dan Klebang
Pada masa sama, dua lagi kerusi dalam Parlimen Tangga Batu, iaitu Pantai Kundor dan Klebang, dijangka tidak menyaksikan perubahan besar calon BN.
Sumber berkata, DUN Pantai Kundor dijangka kekal dipertahankan penyandangnya, Tuminah Kadi, yang menang pada PRN 2021 dengan majoriti 827 undi.
Klebang pula dijangka terus dipertahankan penyandangnya, Lim Ban Hong, berdasarkan percaturan semasa. Beliau memenangi kerusi itu pada PRN 2021 dengan majoriti 876 undi dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan BN, PH dan Perikatan Nasional (PN).
Namun, percaturan di Klebang berpotensi berubah bergantung pada hala tuju rundingan persefahaman politik antara PH dan Bersatu.
Persoalan turut timbul mengenai kedudukan Mohamad Ali, yang juga Timbalan Ketua Bersatu Melaka, sama ada beliau akan kembali bertanding di Sungai Udang atau beralih ke Klebang.
“Namun persoalan itu akan terjawab apabila rundingan persefahaman politik antara PH dan Bersatu berjaya direalisasikan.
“Sekiranya rundingan itu gagal, Mohamad Ali dijangka kekal dengan hasratnya untuk bertanding di Sungai Udang. Jika persefahaman politik berjaya dicapai, beliau dikatakan berkemungkinan beralih ke Klebang bagi memberi laluan kepada PH di kerusi terbabit,” katanya.
Percaturan itu menjadikan empat DUN dalam Parlimen Tangga Batu saling berkait. Perubahan satu kerusi berpotensi memberi kesan kepada susunan calon di kerusi lain, terutama Paya Rumput, Sungai Udang dan Klebang.
Bagaimanapun, semua nama dan susunan yang disebut masih tertakluk kepada keputusan akhir parti serta rundingan antara gabungan politik.
Ab Rauf, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, sebelum ini menegaskan senarai calon BN belum dimuktamadkan dan hanya akan diketahui beberapa hari sebelum hari penamaan calon.
Menurut beliau, Sungai Udang menjadi kerusi sasaran BN untuk dirampas kembali, diikuti Paya Rumput yang berdepan persoalan calon baharu. Pantai Kundor dan Klebang pula dijangka mengekalkan penyandang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.