
Hasrat “Hulk” Norhizam Hassan Baktee untuk kembali bertanding di Pengkalan Batu mungkin tidak kesampaian. Kerusi itu difahamkan tidak termasuk dalam senarai Bersatu pada PRN Melaka.
Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, berkata parti juga belum memuktamadkan calon dan kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya itu.
“Bersatu belum memuktamadkan keputusan berkaitan PRN Melaka, termasuk soal calon dan kerusi.
“Saya difahamkan kerusi Pengkalan Batu tiada dalam senarai Bersatu,” katanya kepada FMT.
Hishamuddin turut berkata kenyataan Norhizam mengenai hasratnya itu mungkin pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti.
Norhizam mahu terus berkhidmat
Media semalam melaporkan Norhizam berhasrat kembali bertanding pada PRN Melaka. Beliau masih mahu berkhidmat di Pengkalan Batu kerana mendakwa penduduk kawasan itu memerlukan khidmatnya.
Bekas Adun Pengkalan Batu itu, yang kini naib ketua Bersatu Hang Tuah Jaya, turut mendakwa namanya sudah disenaraikan sebagai calon PRN. Namun, kerusi yang bakal ditandinginya masih belum dimuktamadkan.
Norhizam sebelum ini timbalan pengerusi DAP Melaka. Beliau pernah memegang jawatan exco pertanian, pembangunan usahawan dan industri asas tani negeri.
Beliau mula mewakili DUN Pengkalan Batu pada PRU14 sebelum tewas semasa PRN Melaka lima tahun lalu. Ketika itu, Norhizam bertanding atas tiket bebas selepas dipecat DAP.
Hishamuddin serah kepada parti
Sementara itu, Hishamuddin ditanya sama ada beliau sendiri akan bertanding pada PRN kali ini. Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk menentukan calon dan kerusi, termasuk bagi DUN Telok Mas.
Katanya, jika Bersatu memutuskan untuk bertanding di Telok Mas, Biro Politik Bahagian akan mencadangkan calon yang sesuai untuk dipertimbangkan parti.
“Sebagai seorang party man, saya menghormati keputusan presiden dan parti. Saya tidak melihat bertanding dalam pilihan raya sebagai agenda peribadi.
“Jangan terlalu mengejar jawatan atau menjadi calon. Survival dan kemenangan parti jauh lebih utama,” kata Hishamuddin, yang juga pengarah Bilik Gerakan Utama Bersatu Melaka.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.