
Peguam yang mewakili empat pelajar dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mengecam Presiden WARISAN, Shafie Apdal, kerana didakwa cuba mengeksploitasi kes itu untuk kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah.
Mereka berkata tindakan Shafie melabelkan kes itu sebagai “pembunuhan” serta mempersoalkan prosedur siasatan polis dan pakar patologi forensik adalah “melulu, berbahaya, menjijikkan dan penghinaan terhadap sistem keadilan.”
“Melabelkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang adalah amat tidak bertanggungjawab dan prejudis terhadap anak guam kami. Ini cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi keuntungan politik menjelang PRN.
“Keadilan seharusnya ditegakkan di mahkamah, bukan diputar belit di pentas politik. Ahli politik mesti menjunjung maruah jawatan awam, bukannya mengapi-apikan emosi demi pilihan raya,” kata mereka dalam kenyataan malam tadi, lapor FMT.
Barisan peguam terdiri daripada Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan, mewakili pelajar B, C, D dan E yang menghadapi pertuduhan menghina Zara Qairina serta terbabit dalam prosiding inkues.
Shafie sebelum ini dipetik mempertikaikan tempoh panjang inkues dalam satu klip video yang tular di media sosial.
Peguam menegaskan tindakan Shafie itu tidak wajar dan merendahkan martabat seorang pemimpin.
“Kenyataan pramatang dan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja melemahkan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,’ tetapi juga menunjukkan kurangnya hormat terhadap keluarga Allahyarhamah Zara Qairina.
“Keadilan mesti diputuskan di mahkamah berdasarkan bukti dan keterangan, bukan diputar belit dalam ucapan politik atau media sosial,” katanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia pada 17 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri sekitar jam 4 pagi berdekatan longkang di sekolahnya sehari sebelum itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.