
Seorang pelajar berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. “Pihak polis juga sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian,” katanya menurut Berita Harian.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 malam di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah. Menurut Alzafny, kejadian itu mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
“Mangsa dikatakan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia,” katanya.
Keluarga mangsa sebelum ini mendakwa pelajar terbabit dipukul di asrama sekolah, namun dakwaan itu masih belum disahkan polis. Alzafny turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar.
“Keutamaan pihak polis untuk memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya, sambil menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
PIBG seru orang ramai sabar dan elak spekulasi
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Abd Malek Abd Ghani, berkata semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan kes ini. Menurutnya, proses itu mungkin mengambil sedikit masa memandangkan ia perlu dilakukan secara terperinci dan lengkap.
Beliau turut mengakui terdapat beberapa hantaran di media sosial mengenai kes ini, tetapi ketepatan maklumat yang tersebar itu masih belum dapat dipastikan.
“Saya minta orang ramai bersabar kerana siasatan sudah bermula dan kita semua perlu berhati-hati dengan hantaran di media sosial,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang meninggal dunia malam tadi selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin, mengesahkan kejadian itu dan memberitahu butiran lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat. Sekolah terbabit turut mengendalikan pelbagai sukan termasuk bola sepak, hoki, sepak takraw, olahraga, bola jaring dan memanah.
“Arwah adalah pelajar tingkatan dua yang terbabit dalam sukan memanah,” katanya.
Muhamad Mustafah turut menegaskan sepanjang tahun ini belum ada kes buli dilaporkan berlaku di asrama sekolah tersebut. Cuma, katanya, satu kes buli pernah dilaporkan berlaku kira-kira empat tahun lalu, dan pelajar yang terlibat ketika itu telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
Sementara itu, seorang guru yang juga jurulatih di sekolah berkenaan mengakui terkejut dengan kejadian yang berlaku. Menurutnya, warga sekolah diarah oleh pihak pengurusan supaya bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Kami diminta bertenang dan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu kerana pihak berkuasa sedang mengambil tindakan,” katanya.
Tiada pihak dilindungi jika terbukti bersalah, kata Fadhlina
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata tiada pihak akan dilindungi sekiranya siasatan mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang susulan kematian pelajar tersebut. Beliau menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan akan meneliti secara menyeluruh aspek keselamatan serta pematuhan tatacara di sekolah berkenaan.
“Saya telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Fadhlina turut hadir ke sekolah berkenaan pagi tadi untuk bertemu warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri serta pihak polis bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kejadian dan tindakan yang telah diambil.
Beliau turut mengesahkan siasatan polis sedang berjalan, dengan seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan. Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah, katanya, akan memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.